fbpx

Abdul Azeez: Jangan terpedaya dakyah ringgit tidak laku di Tanah Suci

ABDUL AZEEZ: Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah Suci.
ABDUL AZEEZ: Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah Suci.

JERANTUT: Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah Suci.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, maklumat itu tidak benar dan sehubungan itu jemaah haji tidak perlu panik dengan laporan yang tersebar dalam laman sosial itu.

“Maklumat yang terdapat dalam media sosial menyatakan duit kita tak boleh ditukar tak boleh diguna pakai itu satu perkara yang palsu.

“Saya telah berhubung dengan Pengarah Operasi Tabung Haji awal pagi tadi (yang berada di tanah suci) dan beliau menyatakan tiada masalah mengenai perkara itu.

“Duit kita walaupun duit kecil RM10, RM5 dia orang pun ada (untuk ditukar),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga jemaah haji Allahyarham Zaleha Yasin di Kota Gelanggi 4 di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Shukor Husin dan Anggota Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris yang kemudian bersama-sama menyertai majlis tahlil Allahyarham Zaleha, 63 yang meninggal dunia di Madinah.

Allahyarham Zaleha yang tiba di Madinah bersama suaminya Jaafar Deran,73, pada 18 Ogos meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 24 Ogos lepas.

Arwah sebelum itu mengadu sakit dada, dibawa ke Klinik Kesihatan TH untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke ke Hospital King Fahd, Madinah pada 20 Ogos.

Dalam pada itu Abdul Azeez turut menyangkal dakwaan kononnya kejatuhan nilai ringgit telah menyebabkan pengurup wang di Makkah, Jeddah dan Madinah tidak mahu menerima duit Malaysia.

“Jangan sebar perkara tidak betul, saya faham kadangkala mereka nak kongsi informasi yang diterima melalui telefon bimbit, tapi sekiranya tidak sahih, jangan kongsi,” katanya.

Jemaah haji, selain itu turut diingatkan supaya tidak membawa duit yang banyak sebaliknya menyimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing kerana ia lebih terjamin.

Beliau berkata, setiap jemaah haji boleh mengeluarkan simpanan sehingga RM10,000 sehari menerusi kaunter yang disediakan oleh Tabung Haji di maktab penginapan masing-masing.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pergerakan jemaah Malaysia ke Tanah Suci berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, penerbangan akhir jemaah haji ke tanah suci dijadualkan pada 16 September ini.

Artikel: Astro Awani