fbpx
Loading

Sinar Harian: Kaji Semula Syarat Pemberian Visa

Artikel: Sinar Harian
Ditulis oleh: NURUL FATIHAH SULAINI (Wartawan)
Tarikh: 10 Mac 2015

sinarharianALOR SETAR – Malaysia wajar mengikut jejak langkah Indonesia yang menetapkan syarat pemberian visa umrah hanya kepada jemaah yang memohon secara berkumpulan untuk mencegah individu yang menjadikan ibadah itu sebagai laluan menyusup ke negara bergolak di Timur Tengah bagi menyertai militan Negara Islam (IS).

Menurut Pengarah Eksekutif Az-zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Abdul Hadi Abdul Rahman, syarat pengeluaran visa terutama bagi lelaki tanpa mahram di Malaysia cukup mudah tanpa perlu melalui pelbagai prosedur rumit seperti wanita. Mereka boleh memohon secara individu atau kumpulan kecil dalam dua hingga tiga orang.

Bagaimanapun katanya, berbeza dengan Kerajaan Indonesia yang menetapkan syarat permohonan visa umrah hanya boleh diberikan kepada jemaah secara kumpulan termasuk lelaki untuk mengelakkan rakyat mereka tidak pulang selepas menunaikan umrah.

Menurutnya, tindakan itu sekurang-kurangnya dapat membendung rakyat mereka menggunakan saluran umrah untuk menyertai sebarang aktiviti kumpulan militan di Timur Tengah.

Bagaimanapun, bagi jemaah wanita berumur 45 tahun ke bawah dan lelaki berumur 18 tahun ke bawah perlu mematuhi syarat Kedutaan Arab Saudi dalam pengeluaran visa umrah.

Mereka hendaklah pergi sama ada dengan suami atau bapa kandung, adik beradik lelaki kandung, bapa saudara kandung atau datuk kandung.

Satu lagi syarat baharu permohonan visa umrah bagi jemaah wanita berkenaan hendaklah ada surat kebenaran daripada bapa kandung atau suami untuk tumpang mahram dengan datuk, pakcik atau bapa tiri. Surat kebenaran itu hendaklah ditandatangani oleh penjaga di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.

Abdul Hadi berkata, sepanjang mengendalikan syarikat umrahnya kira-kira enam tahun, jarang berlaku kes jemaah yang pergi bersama agensinya tidak pulang.

“Kami hanya membawa jemaah secara berkumpulan sekurangnya 20 orang untuk memudahkan pemantauan. Justeru apabila ada seorang yang hilang mudah dikesan.

Namun kita tidak ada prosedur tertentu bagi mengetahui tujuan jemaah ke sana, tetapi selalunya memang hanya mahu menunaikan umrah.

“Bagaimanapun jika ada individu hilang kita akan segera membuat laporan kepada polis dan kedutaan di Arab Saudi untuk mengesannya,” katanya.

Guna nama agensi hanya untuk mohon visa

Abdul Hadi juga percaya terdapat segelintir agensi umrah yang berdaftar dengan Kerajaan Arab Saudi turut menawarkan visa umrah kepada orang perseorangan untuk memastikan kuota sentiasa bertambah.

Sedangkan mengikut peraturan Kerajaan Arab Saudi, permohonan visa melalui agensi umrah perlu dibuat secara berkumpulan lengkap dengan maklumat penerbangan pergi dan balik, penginapan serta pengangkutan sepanjang berada di sana.

Bagaimanapun bagi individu yang memilih untuk memohon visa secara persendirian tidak terikat dengan agensi terbabit, selepas membayar sejumlah wang tertentu mereka bebas memilih pergi sendiri.

“Dalam beberapa kejadian ada kalangan mereka dikesan memalsukan butiran tiket penerbangan pulang menggunakan sistem tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada untuk menguatkuasakan undang-undang berhubung agensi umrah tidak berdaftar.

Katanya, walaupun wujud undang-undang berkenaan, pemantauan tidak dilakukan secara menyeluruh menyebabkan ada agensi atau orang perseorangan berani menawarkan pakej umrah terhadap orang awam.

“Jika berlaku sebarang masalah, syarikat yang mendaftar turut menerima tempias serupa.

“Bagaimanapun pelaksanaan lesen khas umrah bagi mengekang kes penipuan pakej ibadah umrah yang bakal berkuat kuasa tahun depan ternyata melegakan agensi umrah berdaftar,” katanya.

Melalui penguatkuasaan lesen khas di bawah outbound (pengembaraan luar negara) dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, hanya syarikat mempunyai kontrak sah dengan muassasah (agensi pengendali umrah di Arab Saudi) serta syarikat milik orang Islam boleh mengendalikan pakej umrah.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat pertama Majlis Kawal Selia Umrah yang dianggotai 12 agensi dan badan berkaitan, bulan lalu.

Langkah ini juga dipercayai mampu membanteras penularan agensi yang menawarkan pakej umrah tanpa tauliah.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jadual Kursus Umrah

Archives

Perlukan Bantuan & Nasihat?

Sebarang pertanyaan, sila hubungi kami. Anda pasti kagum dengan apa yang kami tawarkan.

Shopping Basket
Chat Bersama Kami!
0 Shares
Tweet
Pin
Share